AGENDA

Perodua atasi sasaran, jual 220,154 unit kenderaan tahun lalu

1 Jan 2021, 2:14 PM
Perodua atasi sasaran, jual 220,154 unit kenderaan tahun lalu

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Perodua berjaya mencatatkan jualan sebanyak 220,154 unit kenderaan bagi tempoh sepanjang 2020 yang mengatasi sasaran awal 210,000, didorong oleh permintaan tinggi pengguna memanfaatkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu mengeluarkan sejumlah 220,968 unit kenderaan pada tahun lepas walaupun terpaksa menghentikan pengeluaran pada Mac hingga Mei 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan Covid-19.

“Namun, langkah pengecualian cukai jualan pada Jun 2020 berjaya menarik minat pembeli dan meneruskan kelangsungan pengeluar kenderaan serta ekosistem automotif tempatan.

“Perodua juga mencapai detik sejuta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pada Nov 2020 -- tepat dua tahun selepas mencatat detik setengah juta yang mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pengeluar terbesar EEV di Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin turut menyifatkan pencapaian jualan yang lebih baik daripada dijangkakan itu dapat memberi kesan positif secara langsung terhadap ekosistem automotif Malaysia dengan membantu para pembekal dan pengedar menghadapi cabaran pada 2020.

“Kami mengharapkan tahun 2021 yang lebih baik kerana terdapat petunjuk positif bahawa pandemik Covid-19 dapat diatasi dengan vaksin yang baharu dikeluarkan. Selain itu, kami akan mengumumkan angka sasaran bagi 2021 dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi komitmen Perodua untuk terus memenuhi tempahan sedia ada dan berusaha mencapai jumlah jualan lebih tinggi pada 2021.

“Kami mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua rakyat Malaysia. Perodua akan terus menambah baik semua aspek operasi bagi memenuhi serta mengatasi semua keperluan dan kehendak mobiliti anda, termasuk menambah baik kecekapan bahan api melalui teknologi canggih yang kekal mampu milik,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619