AGENDA

Bayi antara sembilan maut pacuan empat roda terhumban dalam sungai

1 Jan 2021, 12:53 PM
Bayi antara sembilan maut pacuan empat roda terhumban dalam sungai

KUCHING, 1 JAN: Dua wanita, tiga remaja, tiga kanak-kanak serta seorang bayi lelaki berusia empat bulan disahkan meninggal dunia dalam tragedi kenderaan pacuan empat roda (4WD) terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Friso, kira-kira 120 kilometer dari sini, pada 3 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mereka dikenal pasti sebagai Ronany Ting, 33, yang memandu 4WD itu serta penumpang Siti Aisha Abdullah, 36.

Turut terkorban ialah Nor Shuhada Mohamad, 16 (perempuan); Khairunnisa Muhamad, 14 (perempuan); Alvin Phang, 12 (lelaki) dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Bayi lelaki itu pula dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

“Pengesahan kematian mangsa telah dibuat oleh (seorang) pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Beladin,” kata jurucakap itu.

Menurut jurucakap itu, kesemua mangsa yang mempunyai pertalian kekeluargaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Sibu, kira-kira 200km dari lokasi tragedi, ke bandar raya Kuching sebelum kejadian.

“Punca kejadian kemalangan kenderaan tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Feri Triso merupakan perkhidmatan penghubung kepada projek jalan pesisir Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Second Trunk Road yang merentasi beberapa batang sungai yang lebar dan menjadi pilihan pengguna jalan raya di negeri ini berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang masih belum siap.

Jarak di antara tebing ke tebing Sungai Batang Lupar di mana Feri Triso itu beroperasi ialah kira-kira lima km dan sebuah projek bagi membina sebuah jambatan merentasi sungai berkenaan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619