AGENDA

Menteri: Himpunan rai tahun baharu tidak dibenarkan

28 Dis 2020, 11:59 AM
Menteri: Himpunan rai tahun baharu tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Sambutan tahun baharu 2021 secara perhimpunan adalah tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata sambutan yang biasanya disambut secara besar-besaran itu boleh mewujudkan risiko penyebaran Covid-19 jika ia dianjurkan di mana-mana lokasi di negara ini.

"Sambutan ada pelbagai cara, ada sambutan secara bersendirian, bersama keluarga di rumah dan sebagainya tetapi secara perhimpunan memang tidak dibenarkan kali ini.

"Ini kerana ia akan melibatkan perhimpunan yang penjarakan fizikalnya tidak dapat dikawal," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setakat ini, tiada cadangan untuk mewujudkan semula sekatan merentas negeri dan daerah seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan ia hanya akan dilaksanakan apabila disarankan kementerian itu.

"Kita belum ada perbincangan yang terperinci. Kita akan dapatkan pandangan KKM dan keputusan akan dibuat selepas kita dapat pandangan nasihat mereka.

"Setakat ini, masih kekal seperti diumumkan iaitu perjalanan rentas negeri dan daerah masih dibenarkan," katanya.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 7 Disember lepas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619