AGENDA

Sokongan peminat tempatan ditagih bangunkan bola sepak negara

27 Dis 2020, 6:25 AM
Sokongan peminat tempatan ditagih bangunkan bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Peminat bola sepak Malaysia tidak sepatutnya terlalu memuja kelab luar negara, sebaliknya perlu meningkatkan sokongan mereka terhadap skuad tempatan demi pembangunan sukan itu di negara ini, kata Pengarah yang juga ketua jurulatih Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) Luis Pablo Pozzuto.

Katanya menerusi sokongan padu terhadap liga luar negara seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga Sepanyol dan Serie A Itali, mereka, tanpa menyedarinya, telah mengabaikan liga tempatan khususnya di peringkat akar umbi.

Pengendali berusia 53 tahun dari Argentina itu yang menetap di negara ini sejak lebih 18 tahun lalu selepas menamatkan karier bersama Pulau Pinang, berkata bagi membolehkan bola sepak tempatan membangun, peminat perlu menunjukkan sokongan kepada pasukan dan pemain dengan menonton perlawanan, termasuk liga kecil.

“Pembangunan mengambil masa… namun kita perlu terlebih dahulu mengubah mentaliti daripada terlalu banyak menonton Liga Inggeris kepada menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan. Di Argentina, mereka juga menonton EPL, namun jika ada pasukan divisyen dua (dari Argentina) bermain pada masa yang sama, mereka akan menonton perlawanan divisyen dua itu.

“Kita perlu mempunyai semangat mendalam terhadap kelab kita sendiri, tetapi di Malaysia, peminat lebih berahi terhadap kelab asing. Anda tinggal di KL, tapi kenapa anda lebih sukakan (kelab) Liverpool? Media juga perlu mempromosikan aksi bola sepak tempatan dan menggalakkan masyarakat menonton perlawanan di stadium,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pozzuto adalah antara beberapa pemain profesional yang bertuah kerana berpeluang menerima bimbingan legenda bola sepak mendiang Diego Maradona ketika bermain bersama pasukan Divisyen Pertama Argentina, Deportivo Mandiyu pada 1994.

Pada penghujung kerjayanya, Pozzuto bermain untuk pasukan Kelantan bagi musim 1997 dan 1998 serta Pulau Pinang (2001-2003) dan membantu skuad Harimau Kumbang itu menjuarai Divisyen 1 (Perdana 1) pada 2001 sebelum beralih kerjaya, melatih beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Public Bank dan Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu kebantutan pembangunan bola sepak di negara ini tidak akan selesai dengan hanya menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semata-mata memandangkan peminat, pencarian bakat serta sistem pembangunan turut memainkan peranan besar.

Bekas pemain tengah dan juga penyerang itu berkata pasukan yang bermain dalam liga utama harus mempunyai pelan pembangunan pemain pelapis dengan menubuhkan pasukan remaja, bermula pada usia bawah sembilan tahun yang dilatih sehingga mereka boleh menjadi pasukan simpanan.

Katanya secara purata, kanak-kanak lelaki di Malaysia memulakan latihan bola sepak secara serius pada usia 15 tahun, (sedangkan) beliau bermain dalam divisyen pertama ketika berumur 16 tahun.

Jelasnya pada masa sekarang, mereka perlu mula dilatih seawal usia tiga atau empat tahun.

"Untuk menjadi seorang doktor, anda perlu belajar dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga universiti. Begitu juga dengan bola sepak, kita perlu ada (pasukan) bawah 9, 12, 15 dan 19 tahun,” katanya.

“Ramai bersungut, macam mana nak biayai program pembangunan sedangkan nak bayar gaji pemain pasukan utama pun ada masalah. Mungkin kejayaan tidak dikecapi sekelip mata, tetapi jika kita berjaya menghasilkan seorang pemain berkualiti, dia boleh dijual kepada pasukan luar… kemudian gunakan wang itu untuk pembangunan. Jika anda tidak melabur, sistem ini tidak akan berjalan," tegasnya.

Mengenai sistem sekolah sukan, Pozzuto berkata sekolah sukan harus menilai pelajar secara tahunan dan menggantikan mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dengan bakat baharu berpotensi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619