AGENDA

Menteri agama: Pendakwah perlu senada hukum guna vaksin Covid-19

24 Dis 2020, 9:31 AM
Menteri agama: Pendakwah perlu senada hukum guna vaksin Covid-19

SEPANG, 24 DIS: Semua pihak termasuk pendakwah selebriti perlu senada mengenai hukum penggunaan vaksin Covid-19 iaitu harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata ketetapan hukum penggunaan vaksin Covid-19 itu dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember lepas, dan mengambil pandangan semua pihak termasuk para ulama serta badan berautoriti.

"Kita mahu semua senada (penggunaan vaksin) sebab pandangan ini bukan pandangan saya tetapi para ulama bukan semata di Malaysia... rujukan dibuat untuk ummah seluruhnya dan negara-negara Arab bersetuju kaedah ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 80 pendakwah selebriti di sini, hari ini.

Ketika berucap pada majlis itu, Zulkifli meminta pendakwah selebriti yang mempunyai syor atau cadangan yang baik mengenai apa jua perkara termasuk penggunaan vaksin supaya mengemukakannya secara berhemah.

"Dalam mendepani isu Covid-19, satu sahaja permintaan khusus saya buat sahabat-sahabat iaitu marilah kita bersatu fikrah. Elakkan berkhilaf sesama kita kerana kita ada maslahah yang besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini.

Jika ada syor atau cadangan baik, kemukakan secara berhemah tapi bukan dalam ceramah atau di media sosial," katanya.

Semalam, Zulkifli berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak, katanya.

Mengenai pertemuan dengan pendakwah selebriti, Zulkifli mengingatkan mereka untuk sentiasa memelihara imej serta maruah diri dan mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi.

"Kita harap ada sinar pada tahun 2021... kita tidak dengar lagi sebarang isu konflik (melibatkan pendakwah selebriti)," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619