AGENDA

Terus patuhi SOP walaupun terima suntikan vaksin Covid-19 - pakar

22 Dis 2020, 1:30 PM
Terus patuhi SOP walaupun terima suntikan vaksin Covid-19 - pakar

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Walaupun menerima suntikan vaksin Covid-19, orang ramai masih perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan sebagai usaha memerangi pandemik itu.

Pakar Virologi dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata ini berikutan risiko untuk mendapat jangkitan wabak berkenaan tetap ada walaupun seseorang itu disuntik dengan vaksin.

“Bagi saya, gaya hidup lama patut kita lupakan sahaja kerana kita telah masuk kebiasaan baharu apabila berlakunya Covid-19. Oleh itu, cara hidup kita berubah dan walaupun vaksin itu ada di tangan kita sekalipun, gaya hidup kita tidak boleh kembali seperti dahulu.

"Ini kerana, vaksin itu berkesan daripada menghalang seseorang itu mengalami kesan yang lebih teruk daripada jangkitan itu namun itu tidak bermakna seseorang divaksin tidak boleh menjadi pembawa kepada virus itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini yang membincangkan topik “Vaksin Covid-19: Memahami Akses Serta Perolehan Vaksin AstraZeneca”, terbitan Bernama TV, di sini, hari ini.

Tambahan pula, katanya, vaksin dibangunkan sekarang hanya untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

“Mereka yang berumur bawah daripada usia itu tidak mendapat vaksin jadi apabila usia mereka sudah meningkat, mereka juga perlu mendapatkan vaksin, jika tidak mereka akan terdedah dengan jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, Sazaly menyifatkan pembelian vaksin dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca sebagai langkah terbaik bagi mempelbagaikan pilihan vaksin yang boleh digunakan oleh rakyat di negara ini.

“Jadi, sebenarnya rakyat Malaysia sangat bertuah dan beruntung kerana bukan semua orang serasi atau sesuai dengan satu vaksin sahaja.

Seperti yang kita tahu, fisiologi dan biologi dalam badan setiap manusia itu berbeza dan tindak balas yang diterima (apabila disuntik vaksin) juga berlainan yang mana mungkin akan ada yang mengalami alahan daripada vaksin itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619