AGENDA

Kos tunai haji dijangka naik - Dr Zulkifli

22 Dis 2020, 10:07 AM
Kos tunai haji dijangka naik - Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Sebarang penambahan kos bagi bakal jemaah haji akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan penambahan caj dan syarat dikenakan Kerajaan Arab Saudi ke atas bakal jemaah haji susulan langkah penguatkuasaan tatacara operasi piawai  (SOP) kerajaan itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Unjuran kos itu tak dapat ditentukan kerana belum ada simulasi pergi balik haji termasuk kos penerbangan sebagainya, dalam masa terdekat kita akan kira kos-kos keseluruhan dan diperincikan oleh Tabung Haji (TH).

Kita hanya menjangka (pertambahan) dahulu...saya sendiri akan pergi ke Arab Saudi untuk berbincang dengan menteri haji dan agamanya mengenai isu-isu berkaitan haji dan perincian keputusannya mungkin penghujung Januari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-37 Musim Haji 1442H disertai lebih 500 Pengendali Kursus Ibadat Haji secara dalam talian di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Beliau berkata buat masa ini, orang ramai digalakkan menambah simpanan dalam TH namun, sebarang makluman pertambahan kos tidak akan dibuat secara mengejut dan berkata sebarang keputusan mengenainya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Sementara itu, Zulkifli mengumumkan para pendeposit TH kini boleh membuat rayuan haji bagi tahun 2021 atau 1442H yang dibuka bermula hari ini sehingga 13 Feb tahun hadapan, melalui aplikasi THiJARI.

Kemudahan terbaharu ini dibina bertepatan dengan norma baharu, bertujuan membantu orang ramai membuat rayuan haji tanpa perlu menghantar surat rayuan ke pejabat TH seperti tahun sebelumnya.

Aplikasi itu juga membolehkan bakal haji menyemak pendaftaran haji, status rayuan haji, status tawaran haji serta perkhidmatan lain seperti urusan simpanan dan pengeluaran TH.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619