AGENDA

Sultan zahir takziah, sifatkan Tun Rahah isteri terbaik

19 Dis 2020, 6:56 AM
Sultan zahir takziah, sifatkan Tun Rahah isteri terbaik

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyifatkan Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah isteri terbaik kepada seorang perdana menteri dan ahli politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keperibadian Allahyarhamah yang dikenali baginda sejak 1968 wajar menjadi contoh kepada semua pihak.

Baginda turut berharap jasa Allahyarhamah dikenang rakyat dan sifat murninya diteladani.

"Baginda mengenang kembali keperibadian Allahyarhamah yang mudah mesra dan sering tersenyum serta menjadi tulang belakang dan pendorong utama karier politik Allahyarham Tun Abdul Razak semasa hayatnya.

"Baginda turut mengagumi ketabahan Allahyarhamah sebagai seorang ibu yang berjaya membesarkan anak-anaknya sejak kehilangan suami tercinta pada 1976," titah baginda melalui Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Selangor turut menzahirkan rasa sukacita apabila perdana menteri bersetuju memberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Sebelum itu, baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi.

Tun Rahah, 87, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619