AGENDA

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

18 Dis 2020, 11:43 AM
Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Rahah Mohamed Noah yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah yang merupakan balu kepada Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan berharap seluruh keluarga Rahah sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut satu kenyataan menerusi Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarhamah, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meninggal dunia ketika dalam rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Al-Sultan Abdullah berkesempatan berangkat menziarahi Allahyarhamah di hospital tersebut semalam.

Rahah, 87, berkahwin dengan Abduk Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619