AGENDA

Ahli parlimen dikuarantin perlu pakai PPE jika hadir Dewan Rakyat

14 Dis 2020, 4:37 AM
Ahli parlimen dikuarantin perlu pakai PPE jika hadir Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Tiga ahli parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) boleh hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata ahli parlimen berkenaan akan dibawa menaiki ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas.

“Saya difahamkan pagi ini terdapat tiga orang meminta kebenaran datang (Parlimen). Kalau mereka ingin mengundi perlu memakai PPE dan akan masuk melalui pintu Galeri Awam Dewan Rakyat.

“Undi akan diambil daripada mereka dan penghitung serta pemerhati terpaksa memakai pelindung muka,” katanya selepas Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membangkitkan isu kehadiran ahli parlimen yang sedang menjalani kuarantin ke Dewan Rakyat.

Beliau berkata selepas mengundi, ahli parlimen terlibat perlu meninggalkan Galeri Awam bagi mengehadkan pendedahan dengan semua orang di Parlimen.

Azhar berkata beliau tidak mengubah SOP tetapi pematuhan itu ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya perlu minta kebenaran ketua pengarah kesihatan iaitu kalau dibenarkan, mereka (ahli parlimen) perlu mengikut SOP ditetapkan beliau, bukan daripada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar berpendapat perkara itu perlu ditetapkan supaya ahli parlimen mematuhi perintah yang dibuat.

Media hari ini melaporkan tiga ahli parlimen berkenaan ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan; dan P Prabakaran (PH-Batu).

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619