AGENDA

Pelan pulih aliran tunai, hutang Felda dibangkit Dewan Rakyat

13 Dis 2020, 11:53 PM
Pelan pulih aliran tunai, hutang Felda dibangkit Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Pelan perancangan kerajaan bagi memulihkan kembali aliran tunai dan hutang korporat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), merupakan antara isu yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Perdana Menteri.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula akan meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan akan menerbitkan laporan akhir Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kepada ahli parlimen dan secara awam.

Khoo turut bertanyakan tindakan kerajaan untuk mereformasikan dan menambah baik sistem dan proses pilihan raya di Malaysia, termasuk garis masa.

Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Sabri Azit (PAS-Jerai) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik penderaan kanak-kanak yang berlaku sehingga akhir tahun ini dan langkah diambil bagi mengelakkan berlakunya isu tersebut.

Sementara itu, sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan, hari ini.

Kementerian berkenaan ialah Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat ini juga menyaksikan beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan perkara itu kepada Bernama semalam, namun tidak dapat memperincikan jumlah ahli parlimen yang terlibat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619