AGENSI

Dua ditahan polis, campak wang dalam kereta peronda

13 Dis 2020, 8:29 AM
Dua ditahan polis, campak wang dalam kereta peronda

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Tindakan dua lelaki warga Indonesia mencampakkan sejumlah wang ke dalam kenderaan Cawangan Kereta Peronda (MPV) bagi mengelak daripada dikenakan tindakan dalam satu pemeriksaan semalam, membawa padah apabila kedua-duanya ditahan kerana cuba merasuah pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 50 tahun terbabit ditahan oleh sebuah MPV yang melakukan rondaan rutin di Km14 Lebuhraya Kuala Lumpur-Rawang pada 7.35 pagi.

"Dua lelaki berkenaan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum memecut laju namun berjaya ditahan oleh MPV terbabit.

"Ketika diperiksa, kedua-duanya gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan sah. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM170," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan lanjut dijalankan, kedua-dua suspek mengeluarkan sejumlah wang dan cuba memberi rasuah kepada anggota bertugas.

“Suspek yang diberi amaran agar tidak berbuat demikian kemudian bertindak mencampak wang tersebut ke dalam kereta peronda, menyebabkan mereka ditangkap atas kesalahan cuba memberi rasuah selain tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Arifai berkata mereka kini direman selama 14 hari hingga 25 Dis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619