AGENDA

Ada unsur rasuah dalam isu penyeludupan sempadan negara - KPN

10 Dis 2020, 11:38 PM
Ada unsur rasuah dalam isu penyeludupan sempadan negara - KPN

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Polis mengesahkan terdapat unsur-unsur rasuah berhubung penyeludupan di sempadan negara baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Beliau berkata JIPS telah diarahkan untuk menyiasat beberapa dakwaan dan menimbang beberapa bukti diterima, yang mengatakan berlakunya penyelewengan dalam kalangan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan negara.

"Masalah ini telah lama berlarutan sejak tahun lepas, Majlis Keselamatan Negara ada mendedahkan video penglibatan beberapa pegawai dan anggota PGA yang didapati bersekongkol dan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas perbuatan penyeludup yang didapati melakukan kegiatan itu di depan mata mereka.

"Saya sudah bagi amaran daripada dulu lagi, agar menghentikannya dan hasil gesaan-gesaan yang saya buat, beberapa individu telah tampil yang sanggup dan berani menyalurkan maklumat kepada saya mengenai amalan-amalan yang tidak baik ini (penyeludupan melibatkan PGA). Kami akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada anggota-anggota polis di Bukit Aman, di sini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata 10 jabatan di bawah polis antaranya Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Cawangan Khas diarah untuk mengembleng tenaga bagi menangani isu rasuah dan penyelewengan kuasa dalam kalangan para pegawai dan anggotanya.

"Saya telah mengarahkan satu tindakan holistik dilakukan melibatkan 10 jabatan dalam polis termasuk Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik.

"Semua 10 (jabatan) ini bersatu tenaga untuk menggempur (mana-mana pegawai atau anggota) untuk dikenakan tindakan. Saya akan pastikan mereka yang hidup mewah dengan mengumpulkan harta-harta menerusi jalan yang salah ini akan dirampas balik dan kembalikan kepada negara," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa perbuatan terkutuk menerima rasuah ini mencemarkan imej polis dan merosakkan negara.

“Terdapat ramai pegawai polis didapati telah dirasuah (oleh sindiket yang melakukan penyeludupan) dan ramai juga diantara mereka yang telah dikenakan tindakan tatatertib. Pada waktu yang sama juga, mereka (penyeludup) mencuri hasil-hasil yang sepatutnya masuk ke dalam kewangan negara dan menerusi penyeludupan ini juga mereka berjaya lari dari sistem pencukaian," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan seorang anggota PGA ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup masuk tiga migran melalui sempadan Kalimantan-Sarawak, di Tebakang, pada Rabu.

Anggota yang ditahan itu bertugas di pos kawalan Ops Benteng di Tebedu, Sarawak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619