AGENDA

Polis serbu premis latih promosi judi, tahan lima warga asing

9 Dis 2020, 2:05 AM
Polis serbu premis latih promosi judi, tahan lima warga asing

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Polis menyerbu sebuah premis yang dipercayai menyediakan latihan untuk mempromosi judi dalam talian dan pelaburan saham di sebuah hotel di Jalan Changkat Thambi Dollah dekat sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata empat lelaki warga China dan seorang wanita Vietnam berusia antara 21 hingga 33 tahun ditahan dalam serbuan di premis berkenaan kira-kira pukul 12.01 tengah malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu memberikan latihan bagi mempromosi aktiviti perjudian dalam talian serta pelaburan saham untuk pasaran di negara China, dan kesemua suspek dibawa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial yang diuruskan majikan mereka.

“Semua suspek bekerja di premis itu sejak tiga bulan lepas dengan masing-masing menerima bayaran RM2,500 sebulan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Polis turut merampas 14 unit telefon bimbit, dua buah komputer riba dan pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk menjalankan perjudian dalam talian.

Mohamad Zainal berkata semua suspek direman sehingga 11 Disember ini untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619