AGENDA

Saringan Komuniti: Penduduk Meru disaran tidak panik, terus ikut SOP

3 Dis 2020, 3:51 AM
Saringan Komuniti: Penduduk Meru disaran tidak panik, terus ikut SOP

KLANG, 3 DIS: Penduduk Meru dinasihatkan tidak panik jika terdapat peningkatan kes Covid-19 melalui Saringan Komuniti yang diadakan semalam.

Wakil rakyatnya berkata pertambahan kes sememangnya dijangka berikutan saringan besar-besaran membabitkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Bagaimanapun, kita tidak boleh selesa kerana kita belum menang. Teruskan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19," kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar pada program Saringan Covid-19 Komuniti Bersasar di perkarangan Dewan Masyarakat Taman Meru 3 semalam.

Saringan Komuniti percuma kepada penduduk Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai diadakan susulan jumlah kes tinggi di kawasan berkenaan.

Taman perumahan ini berdekatan kawasan PKPD asrama pekerja syarikat pengeluar sarung tangan terkenal Top Glove yang mencatatkan ribuan kes sehingga Majlis Keselamatan Negara mengarahkan 28 kilangnya ditutup.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi mencadangkan Top Glove menutup sementara semua operasi kilang bagi mengawal penularan Covid-19.

“Arahan penutupan kilang oleh MKN secara berperingkat, namun saya mengharapkan (penutupan) sepenuhnya mungkin dua minggu untuk elak penularan wabak,” katanya lagi.

Pada 1 Disember, Dato' Menteri Besar mengumumkan tiga ketetapan yang diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negeri Selangor bagi mengawal penularan pandemik.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata usaha meliputi penyediaan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah untuk menempatkan pesakit Covid-19 tanpa gejala bagi mengurangkan bebanan dan kepadatan hospital sedia ada.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menjalankan program pengasingan 247 pekerja bukan warganegara di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Amirudin menjelaskan warga Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan itu ditempatkan di Tune Hotel Aeropolis di tepi KLIA selama 14 hari sejak 26 November selepas saringan.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619