AGENDA

Bank Dunia saran Malaysia teliti semula dasar usia bersara

2 Dis 2020, 3:39 PM
Bank Dunia saran Malaysia teliti semula dasar usia bersara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Malaysia perlu meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan statusnya sebagai negara yang mempunyai masyarakat berusia atau menua, kata Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia Firas Raad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menyifatkan aspek demografi Malaysia berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini.

“Malaysia melangkaui pencapaian bermakna dalam trajektori pembangunannya tahun ini dan negara dengan masyarakat menua berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa iaitu tujuh peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas,” katanya.

Firas juga menekankan bahawa kemampuan mencecah usia lebih lanjut sedemikian juga bermakna rakyat negara ini perlu bekerja bagi tempoh lebih lama.

Jika dibandingkan dengan kalangan negara-negara berpendapatan tinggi dan pertengahan-tinggi lain pada masa ini, kadar pekerjaan mereka berusia 55-64 tahun di Malaysia adalah rendah, khususnya dalam kalangan wanita, katanya.

Malah, sebagai perbandingan negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand menyaksikan lebih 65 peratus rakyat berusia 55-64 tahun masih aktif dalam pasaran tenaga kerja.

“Bagaimanapun di Malaysia, golongan itu adalah 45 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Firas berkata, antara pilihan dasar itu ialah dengan meningkatkan had minimum usia persaraan yang rendah secara beransur-ansur daripada 60 tahun kepada 65 tahun dan seterusnya dikaitkan dengan unjuran jangka hayat selepas itu.

Beliau menyifatkan dasar sedemikian diperlukan bagi menggalakkan pekerjaan produktif dan inklusif untuk semua pekerja, termasuk golongan berusia menerusi pekerjaan kurang memerlukan fizikal serta persekitaran tempat kerja dilengkapi dengan pengupayaan secara digital.

“Pilihan dasar pertama ialah menyediakan peluang dengan peningkatan aspek latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang mengambil kira keadaan khusus golongan pekerja berusia lebih tua.

“Ini pada akhirnya dapat mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk pekerjaan produktif dan fleksibel untuk pekerja terbabit selain mempermudah pekerjaan secara separuh masa atau lain yang anjal,” katanya.

Pada masa sama, Firas turut menekankan kepentingan untuk menangani isu atau kekangan dihadapi wanita berkaitan kerja.

Menurutnya, inisiatif-inisiatif relevan itu termasuk penyediaan kemudahan penjagaan anak yang berkualiti dan berpatutan; pembaharuan persekitaran perundangan berkaitan; menambah baik sokongan untuk ibu bapa sejajar dengan norma perundangan antarabangsa serta dasar-dasar yang menangani aspek jantina dan sikap.

“Pada akhirnya, gabungan dasar-dasar yang tepat ini dapat membantu Malaysia menangani masyarakat menua, mempertingkat kesejahteraan semua dan meningkatkan perkongsian bahawa pengalaman mengharungi usia tua bukanlah bebanan tetapi fasa kehidupan yang penuh dengan kebebasan, penyertaan sosial dan produktiviti,” katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619