AGENDA

Amaran cuaca waspada peringkat kuning, hujan lebat sehingga esok

2 Dis 2020, 7:30 AM
Amaran cuaca waspada peringkat kuning, hujan lebat sehingga esok

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka di beberapa negeri, sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak (Hulu Perak); Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai); dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu).

Kenyataan itu turut memberitahu hujan lebat dijangka di Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman); serta Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), bermula esok hingga Sabtu ini (5 Disember).

Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang juga dijangka melibatkan kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung pada waktu petang sehingga awal malam, dalam tempoh berkenaan.

Negeri yang terlibat ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan pedalaman Pahang serta barat Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu menyebut keadaan itu boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

“Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh itu.

“Keadaan ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” menurut kenyataan jabatan itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619