AGENDA

Kastam selesai tuntutan bayaran balik GST lebih RM4 bilion

2 Dis 2020, 5:54 AM
Kastam selesai tuntutan bayaran balik GST lebih RM4 bilion

PUTRAJAYA, 2 DIS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyelesaikan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.006 bilion yang melibatkan 27,426 syarikat dan 40,280 tuntutan dalam tempoh antara 22 Jun dan 30 Nov lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata terdapat 82,517 tuntutan pembayaran balik GST tidak dapat diproses dan dibayar, melibatkan 48,225 syarikat dengan nilai tuntutan berjumlah RM1.316 bilion.

"Antara masalah utama yang dihadapi JKDM untuk memproses tuntutan ini ialah penuntut gagal memberi maklum balas dari segi mengemukakan dokumen yang dikehendaki dan maklumat bank yang tidak sah.

"Keadaan ini berlaku disebabkan penuntut tidak mengemas kini maklumat pendaftaran syarikat seperti alamat perniagaan, nombor telefon dan emel dalam sistem MyGST yang menyebabkan notis atau pemaklumat tidak sampai ke pengetahuan penuntut," katanya dalam sidang media hari ini.

Abdul Latif meminta syarikat yang masih belum menerima tuntutan bayaran balik GST mengemas kini maklumat pendaftaran dan maklumat bank dalam Taxpayer Access Point (TAP), MyGST.

Penuntut juga boleh menghubungi JKDM melalui emel ke Cawangan Kawalan Operasi dan Pulangbalik, Ibu Pejabat refundgst@customs.gov.my, katanya.

Pada 15 Jun lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun 2020 dan pembayaran kepada semua penuntut dijangka selesai selewat-lewatnya pada Disember ini.

Ditanya sama ada terdapat syarikat yang dikesan membuat tuntutan palsu, Abdul Latif berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan serta audit terlebih dahulu sebelum mengklasifikasikan sesuatu tuntutan itu adalah palsu.

"Kita tidak boleh terus kata ada syarikat tertentu buat tuntutan GST palsu. Audit perlu dibuat dan jika ada asas, kita akan ambil tindakan kerana menipu kerajaan," katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia (MPPKSM) ke-94 selama dua hari diadakan secara dalam talian bermula hari ini bagi memenuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

"Tujuan utama mesyuarat ini diadakan ialah untuk membincangkan dasar-dasar jabatan selain membincangkan tahap pemantauan ke atas tindakan-tindakan terhadap sesuatu dasar yang diperkenalkan," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619