AGENDA

311 individu ditahan ingkar arahan PKP

1 Dis 2020, 10:03 AM
311 individu ditahan ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Seramai 311 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 306 daripadanya dikompaun manakala lima individu direman.

“Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas negeri/daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng semalam menahan 14 pendatang tanpa izin serta merampas tiga bot dan satu kenderaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 79,128 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,270 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 502 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 67,356 individu dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Mengenai Op Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 40 operasi sanitasi meliputi 11 zon merah, empat zon jingga, sembilan zon kuning dan empat zon hijau membabitkan 12 negeri.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619