AGENDA

Top Glove jangka perolehan tahun depan terjejas tiga peratus

25 Nov 2020, 12:14 AM
Top Glove jangka perolehan tahun depan terjejas tiga peratus

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) menjangka pendapatannya untuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Ogos, 2021, akan terjejas sebanyak tiga peratus berikutan penggantungan sementara operasi kilangnya di Klang, Selangor.

Bagaimanapun, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata pihaknya menjangkakan tidak akan dikenakan penalti kerana kelewatan penghantaran.

"Kesan daripada gangguan sementara ini dijangka akan menyebabkan beberapa kelewatan dalam jadual penghantaran kami antara dua hingga empat minggu," katanya.

Top Glove berkata syarikat itu menjalankan operasi di pelbagai lokasi dan negara dengan pelan kesinambungan perniagaan sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risikonya.

Pada Isnin lepas, pihaknya mengumumkan penutupan kilangnya untuk membolehkan pekerja kilang itu disaring dan menjalani kuarantin berikutan peningkatan kes Covid-19 di situ.

Sebanyak 16 fasiliti pembuatannya di Meru, Klang telah menghentikan pengeluaran buat sementara waktu sejak 17 November lepas dan setiap fasiliti itu akan dapat beroperasi semula secara berperingkat selepas para pekerja selesai menjalani ujian ’swab’ dan kerja-kerja nyah cemar terhadap kilang tersebut.

Dua belas fasiliti lain kini beroperasi dengan kapasiti sekitar 20 peratus dan akan ditutup buat sementara waktu untuk proses ujian ‘swab’ terhadap pekerja dan ia akan dibuka semula selepas kerja-kerja nyah kuman dilakukan sepenuhnya.

Daripada segi kesan terhadap jumlah kapasiti pengeluaran bagi tempoh sekitar 14 hari, berdasarkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) dari 17 Nov hingga 30 Nov, 28 fasiliti yang terjejas di Meru mewakili sekitar 50 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran syarikat.

"Sebagai langkah mengurangkan risiko, Top Glove telah menjadualkan semula pelan pengeluarannya untuk fasiliti yang tidak terjejas untuk memenuhi pesanan yang penting," katanya.

Harga saham Top Glove turun 55 sen kepada RM6.80 pada penutup sesi dagangan Bursa Malaysia semalam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619