AGENDA

Lebih 90,000 pekerja carum SIP henti kerja setakat 13 Nov

24 Nov 2020, 9:22 AM
Lebih 90,000 pekerja carum SIP henti kerja setakat 13 Nov

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diberhentikan kerja setakat 13 November lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata daripada jumlah itu 40,766 adalah dalam kalangan mereka terlibat dengan sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan.

“Sehingga kini, RM110 juta diluluskan untuk pembayaran kepada pemohon SIP daripada sektor itu… jika terdapat sebarang kes kegagalan pembayaran SIP, sila berjumpa terus dengan saya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam usaha kerajaan mengatasi pengangguran melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) seperti dicadangkan dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM3.7 bilion.

“Untuk mencapai sasaran ini, tiga inisiatif di bawah Skim JanaKerja dirancang yang mana dua inisiatif dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Sumber Manusia, iaitu Insentif Penjana Kerjaya di bawah Perkeso; dan Program Reskilling dan Upskilling di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan lain-lain kementerian.

“...Program peningkatan kemahiran dan latihan semula disediakan di bawah Perkeso dan PSMB dijangka boleh mengurangkan jurang kemahiran terutamanya dalam bidang kemahiran digitalisasi dan kemahiran lain berpandukan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619