AGENDA

AirAsia diiktiraf tujuh bintang teratas penilaian kesihatan Covid-19

22 Nov 2020, 1:15 PM
AirAsia diiktiraf tujuh bintang teratas penilaian kesihatan Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 NOV: AirAsia menerima pengiktirafan tujuh bintang teratas bagi setiap syarikat penerbangan dalam kumpulannya daripada pakar keselamatan industri penerbangan, Airlineratings.com, atas pelaksanaan pelbagai inovasi industri yang menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan.

Menurut kenyataan AirAsia hari ini, syarikat penerbangan dinilai berdasarkan tujuh kriteria seperti yang dinyatakan dalam laman web Airlineratings.com.

Ia merangkumi maklumat menyeluruh mengenai prosedur Covid-19 di laman web, pemakaian pelitup muka, pemakaian peralatan perlindungan diri oleh anak kapal, perkhidmatan hidangan dalam penerbangan yang diubah suai, pembersihan pesawat berkala, kit pensanitasi peribadi dan penjarakan fizikal dalam penerbangan.

Ketua Pengarang Airlineratings.com, Geoffrey Thomas berkata pihaknya bimbang apabila mendapat tahu terdapat syarikat penerbangan yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai Covid-19 yang dipersetujui untuk melindungi para penumpang dan anak kapal.

“Kini keadaan berubah dan pasukan kami meninjau pematuhan operasi pada setiap minggu. AirAsia adalah antara syarikat penerbangan pertama melaksanakan semua cadangan secara agresif,” katanya dalam kenyataan sama.

Beliau berkata penilaian ini dibuat berdasarkan kriteria Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengikut garis panduan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Awal minggu ini, AirAsia melancarkan inovasi, Scan2Fly, teknologi terkemuka industri bagi menentukan kelayakan penumpang untuk terbang sebelum mereka tiba di lapangan terbang, termasuk pengesahan masa nyata bagi dokumen kesihatan.

Pada masa sama, AirAsia turut mengumumkan beberapa peningkatan perkhidmatan meliputi perkhidmatan daftar masuk beg automatik, teknologi pemeriksaan suhu mudah alih serta teknologi pengecaman wajah biometrik F.A.C.E.S. (Fast Airport Clearance Experience System) -- sistem pengecaman wajah tanpa sentuhan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619