AGENDA

KWSP: Ahli tidak perlu bayar semula pendahuluan i-Sinar

17 Nov 2020, 2:52 AM
KWSP: Ahli tidak perlu bayar semula pendahuluan i-Sinar

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menafikan maklumat yang tular menerusi media sosial bahawa “ahli perlu membayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar daripada KWSP”.

Sebaliknya menurut KWSP, amaun yang didahulukan daripada Akaun 1 itu akan diganti semula dengan caruman ahli pada masa depan.

“Penggantian semula ini akan dilakukan dengan 100 peratus caruman baharu akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1. Setelah jumlah amaun yang diakses daripada i-Sinar diganti semula sepenuhnya, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

“Amaun penggantian semula ini akan hanya diterima daripada caruman ahli pada masa depan dan bukannya secara bayaran tunai daripada ahli yang menggunakan kemudahan i-Sinar,” jelas KWSP dalam kenyataan di sini.

KWSP turut mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa istilah yang tepat dalam konteks itu ialah “penggantian semula”.

“Penggunaan ayat-ayat tidak betul seperti ‘pembayaran balik’, ‘bayar semula’, ‘bayar kemudian’ dan yang seumpama menyebabkan kekeliruan kepada ramai pihak,” demikian menurut kenyataan itu.

Semalam, KWSP mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan melibatkan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619