AGENDA

131 pengunjung pusat hiburan ditahan ingkar PKPP - Ismail Sabri

16 Nov 2020, 12:28 AM
131 pengunjung pusat hiburan ditahan ingkar PKPP - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Meskipun negara sedang mengalami gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19, masih ramai yang berdegil apabila terus berhibur di pusat hiburan, dengan seramai 131 individu ditahan atas kesalahan berkenaan, kelmarin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka antara 568 individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Sabtu dan daripada jumlah itu, 516 dikompaun, 49 direman dan tiga lagi dijamin.

Kesalahan ingkar arahan PKP yang lain termasuk gagal mematuhi penjarakan fizikal (160), tidak memakai pelitup muka (116), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (43) dan lain-lain (62).

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata 42 pendatang asing diberkas hasil daripada kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan 981 pemeriksaan khas Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP semalam, pula mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau berkata KPDNHEP juga membuat 687 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan ke atas peruncit (493), pemborong (162) dan pengilang (32).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga Sabtu, 67,555 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 67 hotel serta 20 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta.

“Daripada jumlah itu, 9,488 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 388 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 52,679 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya bahawa mereka pulang dari 36 negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619