AGENDA

Tengkujuh: KPDNHEP jamin bekalan makanan, keperluan asas cukup

16 Nov 2020, 12:20 AM
Tengkujuh: KPDNHEP jamin bekalan makanan, keperluan asas cukup

KUALA NERUS, 16 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid berkata bagi negeri-negeri yang sering dilanda banjir, pihak Kementerian telah melantik peruncit dan pemborong terpilih untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas melebihi 30 peratus daripada stok bekalan biasa.

“Seperti di Terengganu kita ada 160 peruncit dan 74 pemborong terpilih yang akan menyediakan bekalan 30 peratus daripada stok biasa. Kita juga telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

“Jadi rakyat terutama di Pantai Timur tidak perlu bimbang semasa musim tengkujuh ini dan kita akan memastikan stok bekalan makanan dan keperluan asas sentiasa ada,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Tinjauan Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020, di sini semalam.

Sementara itu, Rosol berkata setakat lima hari pelaksanaan SHMMP Deepavali 2020 bermula 9 November lepas, sebanyak 26 kes peniaga tidak mematuhi peraturan telah direkodkan dan daripada jumlah itu, 24 kes berkaitan kesalahan tidak memaparkan tanda harga manakala dua kes menjual barangan melebihi harga kawalan yang ditetapkan, semuanya melibatkan jumlah rampasan dan kompaun keseluruhan bernilai RM5,847.

Sehingga kini katanya, sejumlah 8,305 premis telah diperiksa pasukan penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara membabitkan 276 premis borong dan 8,029 premis peruncit.

Beliau menambah KPDNHEP telah menetapkan harga maksimum untuk 20 jenis barang keperluan sepanjang perayaan Deepavali ini termasuk kacang dal, ubi kentang import dan cili kering.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619