AGENDA

Perbahasan RUU Perbekalan 2021 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

9 Nov 2020, 12:31 AM
Perbahasan RUU Perbekalan 2021 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 selepas dibentangkan Jumaat lepas.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, perbahasan akan bermula sebaik selesai sesi soal jawab lisan yang akan membuka tirai hari keenam persidangan itu, yang mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen - 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas - dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa.

Tumpuan pada persidangan yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang itu turut terarah kepada isu kekurangan peluang pekerjaan bagi siswazah dan penjajahan Palestin yang merupakan antara pertanyaan pada sesi soal jawab lisan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PAKATAN-Pandan) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai langkah dan tindakan kerajaan dalam menangani masalah kekurangan peluang pekerjaan untuk siswazah baharu serta pekerja yang diberhentikan akibat kemelesatan ekonomi tahun ini.

Selain itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) akan meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah-langkah proaktif bersama badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyuarakan bantahan berkaitan rancangan ketidakadilan normalisasi Israel untuk mengiktiraf penjajahan ke atas Palestin.

Datuk Johari Abdul (PAKATAN-Sungai Petani) pula akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai jumlah benih padi baharu yang dihasilkan pusat penyelidikan sejak 2008 hingga kini.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619