AGENDA

BSKU siasat nahas dua helikopter di Taman Melawati - menteri

8 Nov 2020, 8:56 AM
BSKU siasat nahas dua helikopter di Taman Melawati - menteri

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan telah memulakan siasatan teknikal terhadap kemalangan melibatkan dua helikopter di Taman Melawati dekat sini hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata siasatan dilakukan menurut Lampiran 13 - Siasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang antara lain memperuntukkan laporan awal siasatan perlu disediakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kejadian.

“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan ialah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama pada masa depan.

“Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Wee, pasukan penyiasatan akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan untuk keselamatan penerbangan awam setelah siasatan selesai.

Katanya laporan tersebut akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor-syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara.

Wee berkata Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) juga telah diaktifkan untuk membantu dalam penyelarasan operasi menyelamat kemalangan itu yang dilaporkan berlaku pada 11.50 pagi tadi.

Kemalangan melibatkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis G2CA itu berlaku ketika kedua-duanya sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dengan setiap pesawat membawa dua kru.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619