AGENDA

Bekalan vaksin Covid-19 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

3 Nov 2020, 11:54 PM
Bekalan vaksin Covid-19 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Hal berkaitan bekalan vaksin Covid-19 dan penipuan siber adalah antara perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu tersebut terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) kepada menteri sains, teknologi dan inovasi berhubung jaminan daripada aspek kecukupan pembekalan vaksin untuk Covid-19 yang dikatakan sedang dalam penentuan harga tempatan.

Isu penipuan siber pula bakal dibangkitkan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) yang meminta menteri komunikasi dan multimedia menyatakan apakah inisiatif kementerian itu untuk memastikan rakyat selamat daripada penipuan siber yang menggunakan aplikasi tidak sahih serta melalui panggilan telefon dengan pelbagai modus operandi bagi memperdayakan mangsa dalam mendapatkan data peribadi dan wang.

Soalan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) pula meminta menteri kewangan menyatakan apakah kaedah pelaksanaan pelan pakej rangsangan ekonomi domestik yang inklusif bagi membantu negara menangani suasana ekonomi yang mencabar sepanjang tahun 2020.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung separuh hari minggu ini (Isnin hingga Khamis) apabila ditangguh pada 1 tengah hari, sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619