AGENDA

Sidang Parlimen diteruskan walaupun ada kes positif Covid-19

2 Nov 2020, 10:08 AM
Sidang Parlimen diteruskan walaupun ada kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 2 NOV: Sidang Dewan Rakyat diteruskan seperti biasa dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat meskipun terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pegawai khas ahli Dewan Negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata undian pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dan Belanjawan 2021 tidak boleh dilakukan secara maya sebaliknya perlu dibuat di Parlimen.

"Walaupun ada cadangan (sidang dewan) dibuat melalui maya tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana kita tertakluk kepada perlembagaan dan peraturan Parlimen.

"Begitu juga titah Yang di-Pertuan Agong sewaktu proklamasi pembukaan Parlimen, baginda akan sebut tentang peraturan mesyuarat secara jelas.

"Jadi, berdasarkan Perkara 62(5), daripada segi undian (RUU dan belanjawan) mesti dibuat dalam Parlimen dan tidak boleh di luar Parlimen," katanya hari ini.

Beliau berkata mesyuarat bersama yang dipertua Dewan Rakyat dan ketua whip semua parti hari ini bersetuju untuk mengurangkan jangka masa dan jumlah ahli parlimen di Dewan Rakyat.

"Setiap ahli parlimen pula hanya dibenarkan membawa dua orang pegawai dan masing-masing perlu melakukan ujian saringan Covid-19.

"Malah ahli parlimen dari Sabah dan wakilnya harus menjalani kuarantin terlebih dahulu serta mempunyai keputusan saringan negatif sebelum dibenarkan masuk ke Parlimen," katanya.

Hari ini, Ahli Dewan Negara Senator Ras Adiba Radzi mengesahkan pegawai khasnya dijangkiti Covid-19 setelah melakukan ujian saringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619