AGENDA

Malaysia ulangi pendirian kutuk tindakan provokatif cemar Islam

29 Okt 2020, 12:03 AM
Malaysia ulangi pendirian kutuk tindakan provokatif cemar Islam

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kementerian Luar Negeri mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut kenyataan kementerian itu, pendirian tersebut dizahirkan dalam pertemuan dengan Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur yang dipanggil ke Wisma Putra hari ini.

"Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain," demikian menurut kenyataan itu malam tadi.

Pada pertemuan itu juga Malaysia menyatakan kegusaran terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

"Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama," kata kementerian itu.

Malaysia juga menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat, dan dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan mencegah ekstremisme agama.

Menurut laporan media, pada 16 Oktober lalu seorang guru di pinggir kota Paris dipenggal kepalanya setelah menunjukkan beberapa karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan dalam Charlie Hebdo kepada para pelajarnya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619