AGENDA

Hanya petugas penuhi kriteria dapat elaun khas Covid-19

23 Okt 2020, 1:16 AM
Hanya petugas penuhi kriteria dapat elaun khas Covid-19

SHAH ALAM, 23 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan hanya petugas perubatan dan kesihatan di Hospital Kajang yang memenuhi kriteria layak dibayar elaun khas Covid-19 bermula Julai lepas.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata ia selaras dengan surat pekeliling bertarikh 21 April iaitu ‘Penambahbaikan Dalam Pemberian Elaun Khas Kepada Doktor dan Anggota Kesihatan Yang Terlibat Secara Langsung Dalam Usaha Menangani dan Membendung Penularan Wabak Covid-19’.

"Dakwaan pihak tertentu seperti diterbitkan sebuah laman web bahawa elaun khas Covid-19 bagi petugas Hospital Kajang masih belum dibayar adalah tidak berasas.

"Pegawai perubatan, anggota kesihatan dan pegawai forensik yang digerakkan ke zon merah masih menerima elaun khas berkenaan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Sha’ari berkata Hospital Kajang termasuk dalam kategori ‘hospital saringan’ iaitu yang menyediakan perkhidmatan kaunter saringan dan khidmat nasihat namun jika terdapat kes positif, pesakit akan dirujuk serta-merta ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Bagi tujuan tersebut, Hospital Kajang telah mewujudkan Kabin Khas Saringan Covid-19 pada Mac lepas dan Wad 6 dikhaskan untuk kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

"Dalam tempoh tersebut pegawai perubatan atau kakitangan kesihatan yang terlibat telah dibayar elaun berkenaan,” katanya.

Dr Sha’ari berkata susulan penurunan kes Covid-19 sejak Mei lepas sehingga mukim Kajang dikategorikan sebagai zon hijau, Hospital Kajang menangguhkan operasi Wad 6 dan menutup kabin khas pada Jun apabila tiada kes positif direkodkan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Pada 16 Oktober lepas, sebuah portal yang melaporkan berita mengenai bidang kesihatan menyiarkan artikel bertajuk 'Keadilan untuk barisan hadapan, elaun Covid-19 belum dibayar sejak Julai - Petugas Hospital Kajang’ di ruangan kolum pembacanya.

Menerusi artikel tersebut, penulis mendakwa tidak menerima elaun khas Covid-19 bermula Julai sehingga bulan ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619