AGENDA

Lapan kakitangan Hospital Melaka positif Covid-19

21 Okt 2020, 12:00 AM
Lapan kakitangan Hospital Melaka positif Covid-19

MELAKA, 21 OKT: Lapan anggota perubatan Hospital Melaka disahkan positif Covid-19, dan bukannya 11 sebagaimana yang tular di media sosial semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Ismail Ali dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan lapan anggota perubatan itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan, manakala kontak rapat mereka disaring dan kini menjalani kuarantin di rumah masing-masing, dan bukannya di hospital.

Katanya, perkhidmatan di Hospital Melaka tidak terjejas, sebaliknya diteruskan dengan pematuhan penuh kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, dan secara keseluruhannya 30 kes pesakit Covid-19 sedang dirawat di Hospital Melaka ketika ini.

Beliau berkata Hospital Melaka merupakan hospital rujukan bagi kes Covid-19 di Melaka, dan menurutnya urusan di semua unit di hospital berkenaan perlu melalui janji temu, dan orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan di sana.

Mengulas lanjut, katanya tiada penutupan wad termasuk Wad 1-1 di Hospital Melaka sebaliknya pihak pengurusan hospital mengambil langkah mengawal pergerakan di semua wad yang ada bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan pandemik itu.

Ismail berkata orang ramai boleh menyalurkan sebarang pertanyaan berhubung situasi semasa Covid-19 di Melaka melalui Crisis Preparedness and Response Center Melaka dengan menelefon 06-2345999 atau dengan menghantar e-mel kealamat cprcmelaka@moh.gov.my.

Semalam, tular di aplikasi WhatsApp mendakwa wujud kluster membabitkan 11 kakitangan, jururawat, doktor di hospital itu dan wad 1-1 ditutup untuk dijadikan wad kuarantin kakitangan yang positif Covid-19.

Turut tular dakwaan hampir 30 petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka dijangkiti wabak berkenaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619