SELANGOR

Tawar pendidikan berniaga dalam talian kepada suri rumah, ibu tunggal

4 Okt 2020, 2:39 AM
Tawar pendidikan berniaga dalam talian kepada suri rumah, ibu tunggal

SHAH ALAM, 4 OKT: Suri rumah, ibu tunggal dan wanita tidak bekerja di negeri ini wajar diberi pendidikan perniagaan dalam talian bagi meningkatkan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Dusun Tua Muhammad Zakir Abdul Razak berkata pendidikan meliputi aspek pengurusan media, iklan Facebook (FB Ads) dan perkhidmatan pelanggan.

"Perniagaan dalam talian memerlukan kos minimum namun kelemahannya adalah pengurusan media dan hebahan yang kurang berjaya walaupun ratusan peluang terpampang di hadapan mata.

"Jadi, idea saya adalah kita kenal pasti produk yang mahu diniagakan dan setelah itu baru mereka diberikan pendidikan berkaitan perniagaan dalam talian," katanya ketika membahaskan usul Kluster Ekonomi pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor semalam.

Sementara itu, ADN Muda Dengkil Muhammad Faid Irshad Izam berkata usaha merapatkan jurang kemiskinan perlu dilaksanakan dengan menyediakan subsidi penghantaran barang antara negeri kepada mereka yang menceburi bidang itu.

"Kos penghantaran bukanlah murah dan dianggap beban kepada peniaga baharu mahupun pelanggan, malah (penghantaran) dalam negeri sahaja sudah menelan kos sebanyak RM7 hingga RM10 bagi barangan bawah satu kilogram (kg).

"Jika berat semakin naik, maka kos penghantaran terpaksa dinaikkan, akhirnya pelanggan akan mengalihkan perhatian kepada peniaga yang menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma," katanya.

ADN Muda Sungai Panjang Muhamad Shukri Saad pula mahu Selangor memperkenalkan model ekonomi berlandas norma baharu bagi mengatasi kelembapan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

"Kerajaan Negeri boleh kenal pasti sektor ekonomi kurang terjejas akibat wabak itu untuk diangkat sebagai industri tumpuan selepas ini untuk membuka banyak lagi peluang kerjaya dengan membekalkan bimbingan kepada graduan keluarga pendapatan rendah (B40)," katanya.

Bagi ADN Muda Batu Tiga Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz, beliau mencadangkan supaya program dan bimbingan keusahawanan diwujudkan di sekolah bagi mendedahkan remaja dan belia kepada perniagaan.

Manakala, ADN Muda Kuang Manisalaxshmi Balachandran berharap agensi atau jawatankuasa ditubuh bagi membimbing golongan tercicir mendapat bantuan dengan mengadakan kelas percuma sebagai pendedahan awal perniagaan dalam talian di luar bandar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619