AGENDA

Kes Covid-19 melonjak, sambutan Hari Sukan Negara 2020 ditangguh

3 Okt 2020, 12:02 AM
Kes Covid-19 melonjak, sambutan Hari Sukan Negara 2020 ditangguh

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Okt ini ke satu tarikh bersesuaian, susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata penangguhan berkenaan diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko penyebaran wabak itu selain memastikan keselamatan semua pihak yang bakal terlibat pada sambutan berkenaan nanti.

"Negeri-negeri, kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah, mahupun persatuan-persatuan dan komuniti sukan yang bercadang untuk menganjurkan sambutan bersama bagi merancakkan lagi suasana Hari Sukan Negara juga disarankan supaya mengambil langkah yang sama," kata Reezal Merican.

Beliau turut menasihatkan semua penggiat sukan di negara ini supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, KBS dan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media semalam memaklumkan sebanyak 287 kes baharu Covid-19 dikesan, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia yang sekali gus menjadikan kes positif virus itu kini berjumlah 11,771 kes.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619