AGENDA

Banci 2020 secara bersemuka di Sabah ditangguh

1 Okt 2020, 11:39 PM
Banci 2020 secara bersemuka di Sabah ditangguh

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Jabatan Perangkaan menangguhkan pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa kedua secara bersemuka di seluruh negeri Sabah dan penyesuaian semula bagi pelaksanaannya akan dimaklumkan kemudian.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata keputusan itu diambil berikutan pelaksanaan kawalan rentas daerah di negeri tersebut bermula 3 hingga 16 Okt ini.

“Berdasarkan status terkini itu juga, penyelia dan pembanci yang dilantik di Sabah tidak perlu hadir bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah manakala latihan bagi pembanci di Sabah yang dijadualkan bermula dari 1 hingga 5 Okt turut dihentikan berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan, berkata pelaksanaan Banci 2020 di negeri-negeri lain diteruskan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu Operasi Pembancian di Lapangan Banci 2020 dan tertakluk kepada pemakluman dari semasa ke semasa.

Banci 2020 fasa kedua iaitu pengumpulan data secara bersemuka akan dilaksanakan dari 7 hingga 24 Okt ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 Okt hingga 16 Okt.

Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, kekal berkuat kuasa seperti biasa.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619