AGENDA

Tugas guru 'jaga' pelajar tamat selepas waktu sekolah - NUTP

29 Sep 2020, 9:54 AM
Tugas guru 'jaga' pelajar tamat selepas waktu sekolah - NUTP

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyelar dakwaan pihak mempersoal keberadaan guru bagi memantau kepatuhan pelajar terhadap tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 selepas waktu sekolah.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock menegaskan tugas guru menjaga pelajar tamat apabila semua urusan di sekolah selesai dilaksanakan.

Justeru, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa yang sepatutnya membawa anak-anak mereka pulang dan bukan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.

“Urusan antara guru dan pelajar hanya bermula di pintu pagar utama dan berakhir di tempat yang sama mengikut waktu yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini

Semalam, tular keratan sebuah akhbar tempatan mengenai pendapat seorang pembaca yang mempersoalkan keberadaan guru untuk mengawal dan memantau kepatuhan SOP pelajar selepas waktu persekolahan.

Harry berkata adalah tidak adil untuk menghukum golongan pendidik atas perkara yang di luar bidang tugas mereka.

Jelasnya, dalam keadaan negara yang dilanda wabak Covid-19, tugas guru semakin mencabar kerana bukan sahaja melakukan tugasan hakiki malah kini ditambah dengan tugas berkaitan pematuhan SOP pandemik Covid-19.

“Awal pagi, guru sudah tunggu depan pagar untuk rekod suhu pelajar, selain itu semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) rancak berjalan pula guru juga terpaksa menyelesaikan beberapa perkara penting seperti kes ponteng dan disiplin pelajar,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619