AGENDA

12 ahli Gang 21 ditahan bantu siasatan kes tembak di Banting

26 Sep 2020, 1:24 PM
12 ahli Gang 21 ditahan bantu siasatan kes tembak di Banting

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seramai 12 lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 36 tahun ditahan di sekitar Kuala Langat bagi membantu siasatan kes tembak yang menyebabkan seorang ahli perniagaan dan pegawai peribadinya serta tiga pelajar sekolah cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman berkata kesemua individu berkenaan ditahan di kawasan Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Teluk Panglima Garang dalam satu operasi dijalankan oleh pasukan petugas khas antara pukul 6 petang semalam sehingga pukul 5 pagi tadi.

“Kami percaya mereka adalah ahli kongsi gelap daripada Gang 21, kami sedang mengesan saki-baki kumpulan haram ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azizan berkata 12 lelaki berkenaan direman sehingga 29 Sept bagi membantu siasatan kes tembak itu.

Bernama difahamkan motif kejadian adalah berpunca daripada masalah membabitkan perniagaan yang diusahakan oleh keluarga mangsa dengan individu bertanggungjawab mengarahkan tembakan itu.

Seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, tiga pelajar sekolah menengah turut cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619