AGENDA

KKM kesan kluster kelapan Covid-19 di Sabah - KP Kesihatan

23 Sep 2020, 12:11 PM
KKM kesan kluster kelapan Covid-19 di Sabah - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu yang kelapan di Sabah, dikenali Kluster Udin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster itu dikesan di Tawau dengan kes indeks (kes ke-9894) melibatkan wanita tempatan berumur 72 tahun hasil saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 Sept.

Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan mengesan dua lagi kes positif semalam (22 September).

“Kedua-dua kes positif ini melibatkan warganegara Filipina. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Sehingga kini, sejumlah 128 individu telah disaring dengan tiga dikesan positif Covid-19 (termasuk kes indeks), 71 negatif dan 54 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan kluster aktif, empat kluster lain di Sabah merekodkan peningkatan kes baharu iaitu Kluster Benteng LD, Kluster Bangau-Bangau, Kluster Laut, dan Kluster Pulau selain satu di Kedah melibatkan Kluster Sungai.

Katanya Kluster Benteng LD merekodkan 105 kes dan menjadikan jumlah kes positif kluster itu kini 729 kes; pertambahan lapan kes masing-masing bagi Kluster Bangau-Bangau (13 kes) dan Kluster Laut (12 kes); serta pertambahan dua kes Kluster Pulau (37 kes), manakala empat kes baharu bagi Kluster Sungai (87 kes).

Susulan peningkatan kes di Sabah, Dr Noor Hisham berkata KKM teruskan pemantapan kesiapsiagaan menerusi 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan KKM yang menjalankan ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag).

Selain itu, KKM juga menambah kapasiti makmal ujian real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) yang menjadikan jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di Sabah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari.

“Sekiranya ujian Covid-19 di Sabah mencecah 2,500 ujian sehari, sampel selebihnya dihantar Semenanjung menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia serta perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“KKM sedang berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau, selain menunggu penghantaran kaset GeneXpert Covid-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619