AGENDA

CIDB siasat tiga aspek kes konkrit hempap kereta

23 Sep 2020, 9:09 AM
CIDB siasat tiga aspek kes konkrit hempap kereta

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menyiasat tiga aspek utama berhubung insiden panel konkrit atau parapet Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang dalam pembinaan, menghempap kereta Sabtu lepas.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata tiga aspek itu melibatkan kaedah pembinaan, kualiti bahan binaan dan kemahiran serta akreditasi pekerja mahir terlibat.

"Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 34B dan 34C Akta 520 (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) yang berkaitan kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan dijalankan.

"Jika didapati bersalah, kontraktor boleh didenda tidak melebihi RM500,000. Pihak lain termasuk tuan punya projek (klien) serta syarikat perunding juga boleh turut didakwa jika didapati bersalah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, media melaporkan insiden panel konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE, terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan dalam kejadian kira-kira 5.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa berusia 25 tahun itu diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menerima rawatan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619