AGENDA

Malaysia dapatkan maklumat rasmi Arab Saudi kebenaran tunai umrah

23 Sep 2020, 3:42 AM
Malaysia dapatkan maklumat rasmi Arab Saudi kebenaran tunai umrah

PUTRAJAYA, 23 SEPT: Malaysia akan mendapatkan maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran menunaikan umrah seperti yang dilaporkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Sebarang ketetapan mengenai kebenaran menunaikan ibadah itu perlu dibincangkan dengan teliti dengan kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu," katanya berhubung laporan Arab Saudi membenarkan semula ibadat umrah untuk sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini selepas tujuh bulan ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Dilaporkan, sebagai permulaan kira-kira 6,000 penduduk Arab Saudi dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula 4 Oktober, manakala jemaah dari luar negara pula dibenarkan berbuat demikian mulai 1 November dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang sehari.

Ketika merasmikan Seminar Penipuan Umrah bersama Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini, Zulkifli berkata kerajaan Arab Saudi pasti akan mengehadkan jumlah jemaah umrah selain terdapat beberapa tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) tentang SOP yang perlu dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia dibenarkan menunaikan ibadat umrah.

“Kami akan bincang dan lihat apa saranan MKN... kita tidak mahu ada kluster baru pula wujud,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Zulkifli berkata kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan agensi pengelola umrah kerana melalui tadbir urus mereka yang cemerlang menyumbang kepada nama baik Malaysia yang seringkali disebut-sebut dan dicontohi di peringkat global.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619