AGENDA

Elaun imam, nazir tanda penghargaan Kerajaan Negeri

17 Sep 2020, 2:40 AM
Elaun imam, nazir tanda penghargaan Kerajaan Negeri

GOMBAK, 17 SEPT: Pemberian elaun kepada imam dan nazir di Selangor adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada golongan itu yang selama ini menjadi tonggak dalam masyarakat, kata Dato' Menteri Besar.

Jelasnya, walaupun mengejar kemajuan, namun Kerajaan Selangor sentiasa berusaha mentadbir secara berhemah tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

"Kerajaan Negeri melihat aspek pentadbiran secara menyeluruh, malah ada asas-asas kerangka pentadbiran yang perlu kita jaga dan pertahankan termasuk surau dan masjid yang perlu dipelihara dan dijaga dengan baik.

"Baru-baru ini timbul isu seolah-olah Kerajaan Negeri mahu memotong elaun imam dan nazir, namun sebenarnya ia berlaku akibat kesan Covid-19, oleh sebab tidak mahu keresahan berpanjangan, kita (Kerajaan Negeri) menampung jumlah elaun tersebut dengan peruntukan RM3 juta," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Bacaan Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Surau di Surau An Nur Taman Jasa, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan 22 surau di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua menerima bantuan wang tunai sebanyak RM110,000.

Sebelum ini, terdapat media melaporkan elaun kakitangan masjid dan surau terpaksa diselaraskan bagi memberikan keutamaan kepada asnaf.

Namun pada 15 September, Amirudin memaklumkan elaun bulanan kakitangan masjid dan surau kekal seperti sebelum pelarasan yang ingin dibuat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tempoh Mei hingga Disember.

Untuk itu, Kerajaan Negeri menampung jumlah elaun tersebut dengan peruntukan RM3 juta.

Elaun bulanan yang dikekalkan seperti berikut: bilal 1 sebanyak RM290, bilal 2 (RM200), nazir (RM250), siak 1 (RM240) dan siak 2 (RM150). Sementara timbalan nazir, setiausaha dan bendahari mendapat RM100.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619