AGENDA

Premis makan, kedai serbaneka di KL boleh operasi hingga 2 pagi

13 Sep 2020, 12:05 PM
Premis makan, kedai serbaneka di KL boleh operasi hingga 2 pagi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan premis makan dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur beroperasi hingga pukul 2.00 pagi mulai esok.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

“Saya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi kerana MKN sudah memberi kelonggaran itu.

“... peniaga telah kerugian banyak, kalau dia (perniagaan) tidak mengancam keselamatan sebagaimana yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan, buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini, hari ini.

Semalam, DBKL memaklumkan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL), semalam.

Terdahulu pada 10 September lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 2 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619