AGENDA

Covid-19: Lebih 100 doktor maut di Indonesia

11 Sep 2020, 10:07 AM
Covid-19: Lebih 100 doktor maut di Indonesia

JAKARTA, 11 SEPT: Indonesia mencatatkan 3,737 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini 210,940 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 88 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 8,544 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 51,635 kes, dengan tambahan 964 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan pada Rabu lepas mengumumkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) akan dikuatkuasakan kembali bermula 14 Sept ini, dengan membatalkan aktiviti sosio ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada fasa transisi PSBB.

Jakarta menguatkuasakan PSBB bermula 31 Mac lepas, sebelum membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi kembali beroperasi menerusi fasa transisi PSBB pada 5 Jun 2020.

Menurut data yang dikeluarkan pemerintah Jakarta, sebanyak 67 hospital di Jakarta kini ditahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan, dan akan mencapai tahap maksima kapasitinya pada 17 Sept ini, sekiranya trend kes positif baharu di Jakarta yang secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas, berterusan berlaku.

Sementara itu provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi di Indonesia iaitu 2,717 orang, dengan 26 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Sementara itu Ikatan Dokter Indonesia (IDI) dalam satu kenyataan menyatakan, seramai 109 doktor di Indonesia terkorban akibat Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian doktor tertinggi akibat pandemik itu iaitu seramai 29 orang, diikuti Sumatera Utara (20 orang), Jakarta (13) dan selebihnya di beberapa wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619