AGENDA

Selangor miliki kemudahan, laksana program ke arah negeri berdaya huni

7 Sep 2020, 7:45 AM
Selangor miliki kemudahan, laksana program ke arah negeri berdaya huni

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor memiliki kemudahan lengkap dan terkini untuk menjadi negeri serantau yang produktif serta berdaya huni, kata ketua penolong pengarah Plan Malaysia@Selangor.

Dr Noraziah Abdul Aziz berkata keyakinan tersebut disokong pelaksanaan Gugusan Ekonomi Selangor bagi memastikannya terus melangkah ke depan serta seimbang dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.

"Gugusan ekonomi ini merangkumi industri teknologi tinggi, aeroangkasa, automotif, maritim, perkhidmatan, ekopelancongan, akuakultur, pertanian ekonomi bandar dan pendidikan.

"Malah Inisiatif Peduli Rakyat turut dijalankan dengan menekankan aspek kesihatan rakyat yang merupakan ciri penting ke arah bandar berdaya huni," katanya ketika menjadi panelis Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap semua pihak bekerjasama untuk mengatasi isu perumahan kos rendah yang berkepadatan tinggi serta tidak selesa.

"Jika dilihat rumah berkaitan memiliki kemudahan usang, reka bentuk lama, tidak kondusif, kurang penyelenggaran dan pelbagai masalah yang mengganggu kehidupan penghuninya.

"Isu mengenai perumahan ini dapat dilihat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila penghuninya terpaksa duduk di rumah dalam keadaan persekitaran tidak selesa, jadi bagaimana hendak bekerja dari rumah atau anak hendak belajar," katanya.

Beliau berkata negeri berdaya huni perlu mempunyai hubungan baik antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekeliling.

"Jadi adalah penting kerjasama semua pihak berusaha meningkatkan akses rakyat kepada perumahan mampu milik yang berkualiti," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619