AGENDA

Polis tahan 198 individu atas kesalahan ingkar PKPP

3 Sep 2020, 8:27 AM
Polis tahan 198 individu atas kesalahan ingkar PKPP

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Polis menahan 198 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata polis yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP, mengeluarkan kompaun terhadap 184 individu manakala sembilan direman dan lima lagi dijamin.

Jelasnya kesalahan tertinggi dilaporkan adalah aktiviti di dalam kelab malam melibatkan 109 individu dan aktiviti melibatkan kehadiran ramai orang yang menyukarkan penjarakan fizikal, 41 orang.

"Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk melibatkan 25 individu, tidak memakai pelitup muka (17), gagal mematuhi arahan kuarantin (seorang).

"Dua disyaki menjalankan aktiviti pelacuran, manakala tiga lagi kesalahan adalah premis beroperasi tanpa lesen," katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata polis mengadakan 63 sekatan jalan raya bagi operasi berkenaan di seluruh negara serta memeriksa 23,368 kenderaan dan seorang pendatang tanpa izin ditahan atas kesalahan imigresen.

Sejak 1 Mei sehingga semalam, seramai 4,889 pendatang tanpa izin, 713 tekong serta 246 penyeludup ditahan. Selain itu, 446 bot dan 481 kenderaan yang terlibat dalam percubaan mencerobohi sempadan negara turut ditahan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lalu, sebanyak 22,057 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa negara dan ditempatkan di 71 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA).

Katanya daripada jumlah itu, seramai 9,481 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 12,510 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619