AGENDA

Kerajaan cadang tambah baik akta pentadbiran undang-undang Islam

3 Sep 2020, 12:14 AM
Kerajaan cadang tambah baik akta pentadbiran undang-undang Islam

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Kerajaan bercadang membentangkan pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pada sesi Parlimen, November ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata antara pindaan Akta 505 itu melibatkan tadbir urus agensi agama di Wilayah Persekutuan, memperkukuh tadbir urus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, isu berkaitan mahkamah syariah, isu berkaitan tadbir urus pejabat mufti Wilayah Persekutuan termasuk kaedah pengeluaran fatwa.

"Ia (Akta 505) akan ditambah baik dari pelbagai segi dan ia akan diperhalusi," katanya kepada media selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada 10 Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil bagi tempoh tiga tahun yang berkuat kuasa dari 16 Ogos lepas hingga 15 Ogos 2023, di sini.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik sebagai pengerusi ahli jawatankuasa tersebut.

Zulkifli berkata ahli jawatankuasa yang baru dilantik itu akan membincangkan dengan lebih mendalam berkenaan pindaan di bawah Akta 505 dalam mesyuarat yang berlangsung selama lima hari, bermula semalam sebelum dibentangkan di Parlimen.

Dalam ucapannya, Zulkifli berkata selain Akta 505, mesyuarat jawatankuasa teknikal kali ini akan turut membincangkan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

"Walaupun terdapat 10 negeri lain yang telah menggubal undang-undang yang sama bagi negeri masing-masing, namun terdapat halangan dari segi penguatkuasaan undang-undang tersebut," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619