AGENDA

Tiga konsep bandar pacu hala tuju Putrajaya

31 Ogos 2020, 7:50 AM
Tiga konsep bandar pacu hala tuju Putrajaya

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Konsep bandar pintar, bandar hijau dan bandar sukan akan memacu visi pembangunan Putrajaya bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata 32 peratus daripada garis panduan dalam Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018-2025 telah berjaya dicapai setakat ini dan bakinya diyakini mampu dicapai menjelang 2025.

"Pembangunan terdahulu lebih kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur (sebagai pusat pentadbiran), sekarang fokus lebih tertumpu kepada pengisian," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi merealisasikan hasrat menjadi bandar pintar, PPj telah melancarkan Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018-2025 yang antaranya menekankan elemen bangunan pintar; selamat dan e-mobility, katanya.

Mengenai konsep bandar hijau yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar, beliau berkata 70 bangunan di Putrajaya sekarang dipantau tahap pelepasan karbonnya, manakala bangunan yang akan dibangunkan diwajibkan mempunyai elemen jimat tenaga atau konsep hijau.

Mengenai bandar sukan pula, Aminuddin berkata ia bagi memenuhi keperluan permintaan kemudahan sukan dan riadah kerana ramai penduduk dari luar Putrajaya yang datang ke sini bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, Football City akan dibangunkan di Presint 5 yang dijangka siap pada 2023 dan menempatkan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), manakala Stadium Ragbi Nasional pula akan dibina di Presint 13 dan dijangka siap pada 2022.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619