BERITA UTAMA

Hayati intipati Rukun Negara, elak cetus keresahan

30 Ogos 2020, 4:14 AM
Hayati intipati Rukun Negara, elak cetus keresahan

Enam puluh tiga tahun setelah kita merdeka, elok untuk kita mengimbau kembali kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berbunyi, 'The last thing people in this country want to see is a Malaysia divided into political extremes, for a nation divided against itself can only invite trouble.'

Bapa Kemerdekaan juga menyeru, 'Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara.'

Pada ulang tahun ke-63 kemerdekaan Malaysia ini, kita tidak boleh melupakan bahawa negara ini dibina dengan usaha dan jerih perih leluhur kita yang menumpahkan darah dan air mata untuk melihat sebuah negara dan bangsa yang maju jaya, dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia.

Sedari awal lagi negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa yang tinggi, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti mana yang hayati intipati Rukun Negara digariskan dengan jelas di dalam Rukun Negara.

Namun masih ada kelompok yang tidak mahu memahami nilai-nilai itu dan masih mengamalkan sikap yang boleh menimbulkan kemarahan dan keresahan yang tidak sepatutnya berlaku. Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak hanya boleh dijadikan kata-kata tanpa dipraktikkan dan diperhalusi intipatinya.

Perjuangan masih panjang

Pada Bulan Kemerdekaan ini, kita masih lagi tidak merdeka daripada virus Covid-19. Perjuangan ini masih panjang dan ada norma baharu yang perlu kita patuhi untuk kesejahteraan semua pihak. Kita dapat lihat bagaimana sikap mementingkan diri dan degil akhirnya merugikan kita semua. Saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor untuk terus mematuhi penjarakan fizikal dan juga sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam.

Pada kesempatan ini juga saya memberikan tabik hormat kepada setiap petugas barisan hadapan di Selangor dan seluruh negara yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara dan melindungi rakyat Malaysia daripada pandemik global ini. Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini. Selamat Hari Kebangsaan kepada semua!

*Perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619