AGENDA

UiTM bakal perkenal e-sukan sebagai modul kokurikulum

29 Ogos 2020, 12:01 AM
UiTM bakal perkenal e-sukan sebagai modul kokurikulum

SHAH ALAM, 29 OGOS: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal perkenalkan sukan elektronik (e-sukan) sebagai antara modul kokurikulumnya pada sesi pengajian semester akan datang.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah itu adalah seiring dengan perkembangan industri e-sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kita sedia maklum, industri e-sukan sedang berkembang pesat terutamanya dalam kalangan generasi muda sekarang dan UiTM turut tidak ketinggalan mengikuti perkembangan industri itu seiring dengan perubahan landskap pendidikan masa kini.

“Modul baharu ini akan meningkatkan minat pelajar untuk menyertai bidang e-sukan serta ia boleh dijadikan satu ruang kerjaya baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Kitamen Resources Sdn Bhd (Kitamen) di Bangunan Canselori UiTM, semalam.

Mohd Azraai mewakili UiTM manakala Kitamen diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazman Hassan menandatangani MoU untuk membangunkan hab e-sukan di universiti berkenaan yang bertumpu kepada ‘Healthy Gaming’.

Menurut beliau, pengenalan modul baharu itu juga secara tidak langsung akan mendedahkan pelajar kepada bidang teknologi digital yang berkaitan dengan sukan, menerusi pendidikan dan penyelidikan.

Mohd Azraai berkata industri e-sukan turut dilihat sebagai platform terbaik yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar universiti tersebut.

“Kerjasama ini juga dapat membantu UiTM untuk membangunkan modul mengikut standard e-sukan yang ditetapkan.

“Kitamen adalah platform terbaik kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang digital dan teknologi media, pembangunan aplikasi dan permainan e-sukan,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619