AGENDA

Untung bersih Sime Darby susut kepada RM820 juta

27 Ogos 2020, 11:00 AM
Untung bersih Sime Darby susut kepada RM820 juta

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Keuntungan bersih Sime Darby Bhd merosot 13.5 peratus kepada RM820 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2020 berbanding RM984 juta yang direkodkan tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penyusutan itu adalah disebabkan pengiktirafan kredit cukai tertangguh sebanyak RM129 juta yang terhasil daripada perubahan kadar cukai keuntungan harta tanah di Malaysia bagi tahun kewangan sebelumnya.

Jika tidak dimasukkan, keuntungan bersih mungkin setanding dengan tahun sebelumnya, manakala keputusan operasi yang kukuh pada separuh pertama tahun kewangan 2020 telah membantu mengurangkan impak buruk penularan Covid-19 pada separuh kedua tahun ini.

Perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM36.93 bilion daripada RM36.16 bilion sebelum ini.

Keuntungan sebelum faedah dan cukai bahagian perindustrian bagi tahun kewangan 2020 meningkat 21.2 peratus tahun ke tahun kepada RM967 juta terutamanya disebabkan keuntungan yang lebih tinggi daripada operasinya di Australia dan China.

Operasi bahagian motor di China meraih keuntungan lebih tinggi, terutamanya disebabkan prestasi kukuh pada separuh pertama tahun ini dan pemulihan kukuh pada suku keempat.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak tujuh sen sesaham dan dividen khas satu sen sesaham bagi 2020.

Jumlah dividen bagi tahun ini berjumlah 10 sen sesaham, termasuk dividen interim awal 2.0 sen sesaham.

Mengenai unjuran, Sime Darby berkata kumpulan itu optimis prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2021 adalah memuaskan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619